Tuesday, November 23, 2004

SYAWAL PUN TIBA

Hari ini genap lah syawal yang ke 10. Aidilfitri kali ini sambutan kami sekeluarga sederhana saja. Maklum sajalah, ini adalah Aidilfitri pertama kami sambut tanpa kehadiran Datuk tercinta..aisey..ni yg bikin menangis ni...control..control...

Hari raya pertama seperti biasa kami balik Kampung Papar. Iyalah, dari dulu pun memang balik sana saja. Datuk dan nenek sebelah bapak sudah lama tiada sejak bapak saya kecil lagi. Sejak dulu lagi kami cuma merasa kasih sayang datuk dan nenek sebelah mama saja. Jadi soal balik kampung siapa di hari raya tidak pernah wujud dalam kamus hidup keluarga saya..begitulah adanya.

Hari raya pertama memang saya terasa sunyi, sebab cousin² seangkatan dan se'geng' tidak balik ke kampung. Selepas makan saya cuma menonton tv sahaja sambil makan kuih. Selepas itu saya pun tidur. Nasib baiklah ramai sepupu² saya menemani anak saya bermain, jadi tidur saya pun tidaklah terganggu. Selepas saya sedar dari tidur mama saya dan makcik² saya telah pun kembali dari berhari raya di rumah adik nenek saya yang terletak di sebelah rumah sahaja.

Sebenarnya saya bercadang untuk tidur semalam sahaja di kampung, tapi disebabkan pakcik saya yang tinggal di KL menangguhkan penerbangannya ke hari yg berikutnya, maka saya pun nekad untuk tinggal sehari lagi demi untuk nenek tercinta. Hari ke-2 raya mama dan bapak saya telah pulang ke KK kerana rumah kami telah kecurian (again??) dan tinggal lah saya dan anak² saya di kampung halaman..dan juga adik saya yang bertindak sebagai 'babysitter' di kala saya ingin tidur...hahahaha..

Malam raya ke-3 nenek saya memberikan saya tanggungjawab untuk memasak untuk seisi rumah. Makcik saya dan nenek saya cuma makan lauk² raya yg telah dipanaskan. Tapi setelah beberapa hari makan makanan yg berlemak dan penuh ke'santan'nan, ke'rempah'an dan ke'minyak'an, maka saya pun bercadang memasak makanan yg bebas dari sebarang lemak tepu..iya..menu itu tidak lain dan tidak bukan adalah telur goreng dan corned beef...dan saya pun memanggil semua sepupu² kecil saya termasuk anak saya, untuk beratur mengambil nasi sambil saya berlagak seperti ketua chef yg membahagi²kan lauk.

Bila terkenang semasa dulu, sambutan Hari Raya ketika saya masih kecil sangat meriah sekali. Bukan sebab waktu kecil dapat duit raya. Seingat saya zaman kanak² saya tidak ada sama sekali istilah 'duit raya'. Kalau ndak percaya tanyalah makcik saya. Tapi yg paling best tu bab main bunga api...dulu hari raya kalau tiada bunga api dan mercun ibarat roti canai tanpa kuah..ataupun mee laksa tanpa kuah laksa...begitulah betapa bermakna sekali sambutan raya di zaman kanak² dengan kehadiran api berwarna warni...sekarang ni dapat beli mercun pop² tu pun kira bernasib baik...

Selain dari itu, disebabkan saya adalah generasi cucu nenek saya yg terawal dilahirkan selain dari kakak saya (iya la bah..nama pun kakak) maka kami bertanggungjawab untuk membantu kerja² dapur..termasuk lah makcik saya yg bongsu sebab umur makcik saya tidak jauh dari umur kami..3 kilometer saja jauhnya..heheh...kerja² dapur yg saya katakan di sini adalah : mengelap piring dan mengisi campuran(kuih² tradisional). Dulu malam takbir berduyun² tetamu datang ke rumah( padahal besok baru raya)..Kalau orang² kampung biasanya kami berikan kuih 'campuran' saja, kalau orang bandar barulah kami hidangkan biskut raya..itu pun biskut buatan sendiri..dulu² mana ada biskut yg main order, rasa pun sama saja, bentuk saja lain....Kalau ndak percaya tanyalah nenek saya...

Saya: betul kan nek..

Nenek saya: auk, banar atu. (iya, betul tu)

Lihatlah, betapa bersemangatnya sambutan raya dulu². Dulu dapur nenek saya masih lagi di tingkat atas, jadi satu rumah tu terang berderang menyambut kehadiran lebaran. Tapi sekarang hanya tingkat bawah saja yg terang, lampu 'lip lap' pun tidak mampu untuk menceriakan sambutan raya kali ini. Sedih sungguh rasa di hati. Dulu di pagi syawal satu family (mama saya mempunyai adik beradik seramai 9 orang) akan bersalam-salaman di pagi raya..siap nangis-nangis..lepas tu gelak ketawa sesama kami saja sudah cukup membuatkan hari raya lebih dari sekadar sambutan raya..seperti kenduri pun ada...

Walaupun dulu rumah nenek kondisinya tidak lah sebaik sekarang, di mana dahulu bahagian bawah rumah nenek masih lagi berlantaikan tanah...setiap kali semua keluarga berkumpul, penuh sesaklah di setiap penjuru rumah bila tiba sahaja waktu tidur, dan setiap tempat mewakili keluarga masing²...tilam pun dibentangkan..masing² mencari bantal dan selimut..kadang² ada yg membawa bantal dan selimut sendiri kerana bantal yang ada di rumah nenek biasanya "out of stock"..hehe...dan kini, keadaan sudah berubah, bilik tidur sudah bertambah di tingkat atas...di bahagian bawah rumah nenek pun telah di renovasi untuk di jadikan ruang tamu, maklumlah nenek pun sudah tua, tidak larat lagi untuk naik turun tangga..ruang dapur juga berpindah ke tingkat bawah..semakin luaslah rumah nenek saya, tidak seperti zaman kami kanak² dulu...tapi.. semakin kosong pula terasa.

Saya pun tidak tau jika anak-anak saya merasa seronok menyambut lebaran seperti yang saya rasakan ketika saya sebaya mereka dulu. Bila saya bertanyakan Acap & Adik kenapa hari raya 'best' bagi mereka? Inilah jawapan mereka:

Acap: Sebab Acap pakai baju hari raya sama dapat duit raya.

Adik: Adik suka hari raya sebab umi beli pop², dapat duit raya juga sama macam Acap. Umi minta duit raya!! Umi belum kasi lagi..

Saya: Adik..ndak buli tuh begitu..hari raya bukan setakat main pop² dan duit raya saja...ia sebenarnya melambangkan...

Adik: Adik mau duit raya!!!...beli tabung juga!

Saya: Materialistik sungguh!...ish..nah, duit raya...ok continue..Aidilfitri adalah hari yang..

Adik & Acap: Bye umi...Acap sama Adik mau pi hari raya...

Saya: waaaaaaaa...waaa.......kejam..

Hari sabtu lepas kami mengambil gambar beramai-ramai di kampung, maklumlah pakcik saya yang di KL mempunya anak yang ramai, jadi kira meriah jugalah bila mereka berkumpul bersama kami di kampung. Masih banyak sebenarnya ruang kosong yg seharusnya diisi oleh kaum keluarga yang tidak dapat pulang berhari raya. Saya melihat nenek menangis sambil berpelukan dengan makcik saya, iyalah..bila ramai-ramai berkumpul teringat pula keluarga yang jauh di mata.

Tiba² saya teringat akan satu foto keluarga yang diambil sekitar tahun 80'an di hari lebaran. Seingat saya itu adalah foto adik beradik mama saya yang sangat lengkap pernah diambil. Kalau ada yang masih ingat, sudilah kiranya kita mencari beramai-ramai di mana hilangnya foto itu. Maklumlah baru² ini makcik saya menjumpai sijil nikah nenek saya yang sudah lama hilang. Mana tau nanti terjumpa peta harta karun..hehehe

Saya berharap suatu hari nanti kami sekeluarga akan berpeluang untuk berkumpul memenuhi ruang yang kosong di dalam album keluarga kami. Namun begitu, ada juga ruang kosong yang tidak mungkin terisi lagi. Arwah datuk dan pakcik saya tidak mungkin dapat mengisi ruang kosong di mana-mana foto album kami, tapi di hati kami selalu ada ruang yang istimewa buat setiap sanak saudara yang kami cintai.

Salam Lebaran,
Ana.